:: " WAHAI ANAK KESAYANGANKU, BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH WALAU DI MANA SAHAJA KAMU BERADA. DAN JANGAN SESEKALI KAMU MENYEKUTUKAN ALLAH DENGAN SESUATU YANG LAIN " ::

Facebook Badge

About Me

My photo
Cukuplah hanya ku katakan bahawa cita-citaku menjadi seorang isteri yang solehah dan menjadi ibu yang berpegang teguh kepada agama Allah dan Rasul-Nya.. Melahirkan generasi al-Quran yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Ayah Ibu

Ayah Ibu

Kakak

Kakak

Abang Ngah

Abang Ngah

Adik

Adik


1 Syawal 1431

Thursday, September 9, 2010

1 comments

Hari ini 30 Ramadhan. Esok 1 Syawal. Tarikh yang Allah anugerah kepada kita untuk bergembira setelah bersusah sedikit dalam Ramadhan. Apa yang penting, sama-sama kita doakan semoga amal kehidupan kita diterima Allah Taala jua.

Sekarang jam menunjukkan angka 7.08 pagi. Hari ini juga 9 September 2010. Khamis. Semalam, 8 hb, genaplah Nafi'(angah) 9 bulan. Dan dari malam tadi angah menangis dan merengek. Hidungnya berair. Selsema dan batuk-batuk. Pening kepala ayah dan ibu. Ibu sekarang mudah sangat penat dan ta'ban. Maklumlah, masa ini adik kakak dan angah sudah 2 bulan dalam perut ibu. Alahan ibu pun kuat sedikit kali ini. Ditambah lagi dengan penat puasa. Tambah menyesakkan nafas, kakak masih belum hendak berhenti menyusu. Angah masih boleh menyusu. Tapi kakak dah 2 tahun. Sepatutnya kakak kena berhenti.

Tahun ini sebenarnya tahun terakhir ayah dan ibu di kuliah. Tapi masing-masing terpaksa melalui peperiksaan Tasfiah untuk 3 subjek yang gagal baru-baru ini. Ada 8 hari lagi untuk kami membuat persediaan. Ibu rasa sedih dan takut sangat. Sebab ibu tak hafal lagi. Bukan sedikit. Banyak lagi yang belum dihafal. Kakak dan angah sepanjang Ramadhan ini, tak hendak tidur malam. Siang hari juga. Terbalik jadi dunia kami.

Akhirnya kami fikir kena minta ayah cik, amudir dan amu asyraf tolong jadi babysitter dan tinggal bersama. Musykilahnya, rumah kita sempit. Jadi ayah minta dengan kawan ayah, ustaz shahrulhisyam namanya untuk menggunakan rumahnya yang sedang kosong. Rumahnya luas dan banyak bilik. 4 bilik. Harapnya, dapat duduk di situ dalam tempoh kecemasan ini dan kakak dan angah dapat dijaga dengan baik oleh ayah cik dan kawan-kawan.

Cerita pasal rumah pula. Tak apalah. Nanti kakak dan angah dah besar, dah pandai, tanyalah ayah dan ibu semula. Cerita pasal rumah pun sedih dan penat juga. Rumah yang kita sewa sekarang. Dan rumah kawan ayah itu juga.

Ayah nak kena pergi kemas rumah kawan ayah dulu. Dah kemas, sapu debu, simpan barang-barang kecil dan sebagainya barulah kakak dan angah boleh ke sana. Ibu sekalilah. Rumah kita pun nak kena kemas juga. Oh ya, pasal rumah. Ada rumah acik Amal. Kita pun tumpang juga rumah dia. Kena kemaskan juga tu. Ada banyak cerita pasal rumah ni. Tu belum cerita pasal rumah pertama ayah dan ibu duduk selepas kahwin di hayyu Thamin, Madinat Nasr, Cairo. Rumah pertama selepas diijabkabulkan pada 1 Syawal 1426. Ha! Itu cerita lain pula. 1 Syawal ialah titik sejarah ayah ibu yang indah. Selamat menyambut ulang tahun perkahwinan buat diri sendiri. Ayah dan ibu. Anak-anak belum pandai wish lagi ni. :D

Baju raya angah belum ada lagi. Ibu dah sedih. Ayah pening kepala. Duit tak berapa ada. Masa dan tenaga pun sangat terbatas. Puasa pula tu. Doalah, mudah-mudahan Allah izinkan semuanya lancar dan mendapat inayah, berkat dan rahmatNya. Semoga semua amalan kita diterima sebagai ibadat kepada Allah. Itu yang lebih penting. Semoga ayah dan ibu najah peperiksaan kali ini. Anak-anak, doakan kami.

Semoga dapat najah dan dapat balik ke Malaysia tahun ini. Boleh atuk,nenek,tok bah,tok mi pakcik dan makcik kamu jumpa kamu semua.

Akhirnya, Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu Akbar!

Suatu ketika, tujuh hari.

Wednesday, July 7, 2010

0 comments

6.30 petang.
8 Disember 2009.

Terima kasih Tuhan atas anugerah yang bermanfaat ini. Dengan harapan dia akan memberi manfaat kepada dirinya, kedua ibu bapanya, keluarga, agama dan alam sejagat lalu dinamakan dia dengan Nafi'.

Pada waktu mengalunkan azan ke cuping telinganya, hatiku berbisik, adakah sebak hati dan mata sewaktu mengazankan Aisyah dulu akan kembali. Sedang hati bertanya, tiba-tiba kolam air mata terasa ingin melimpah. Seakan ditimpa satu bebanan yang berat ke sudut tengah kolam yang tenang, lalu ia berkocak memercikkan kehangatan air yang tersimpan. Sebenarnya di ketika itu, terlintas di hati, satu perasaan yang maha berat, persoalan yang ringkas tapi cukup mengesankan. Ya Allah, mampukah aku menjaga amanah dan anugerah ini menjadi hamba yang Engkau Redhai? Sungguh, perjalanannya, perjalananku dan perjalanan itu panjang lagi berliku.
Di dalam mencari jawapan, aku tiba ke penghujung iqamah. La Ilaha Illa Allah. Tiada Tuhan selain Allah. Dia yang menjadikan, hanya kepadaNya jua dikembalikan segala permohonan.

Perjalanan seorang hamba untuk keluar menemui cahaya matahari bermula sejak awal lagi. Sejak ia mula melekat di dinding rahim si ibu. Bahkan perjalanannya telah bermula lebih awal lagi. Sesetengah ulama mengatakan bermula dari pemilihan pasangan lagi. Bagaimana memilih pasangan, seperti itulah anak kita. Bahkan al-Quran sendiri menetapkan bahawa orang yang baik ialah untuk pasangannya yang baik. Kalau begitu, semua orang kena jadi baiklah. Betul, semua orang kena jadi baik. Bukankah itu juga sebenarnya salah satu hadaf diutuskan Nabi. Untuk membawa umat manusia ke akhlak yang baik.

Mengenangkan semua ini, hati sang ayah boleh jadi lemah tak bermaya. Mencari-cari sumber kekuatan. Kerana dia sedar dirinya penuh noda dan dosa. Lalu mampukah dia, sendirian menjaga amanah dan anugerah yang sangat berharga itu? Tentu sekali tidak. Talian hayat perlu dicari. Sebagai pembantu. Kepada si anak agar dapat membesar menjadi orang yang soleh, beriman dan bertaqwa. Kepada si ayah agar bersemangat sentiasa mengislah diri dan memimpin keluarga menjauh dari lubang-lubang celaka.

Langkah-langkah perlu disusun. Strategi perlu dikemaskini. Kalimah akhir iqamah itu mesti dirujuk kembali. Macam mana ingin kembali kepada Allah? Dengan ilmu. Belajar. Bertanya. Kepada siapa? Tentu sahaja kepada yang 'Alim. Mana-mana 'alim sahajakah? Kerana orientalis juga boleh jadi 'alim? Tenang-tenang sahaja. Bukankah al-Quran pernah berkata, yang paling 'alim itu ialah yang paling takut, gerun dan taqwakan Allah. Mereka ini perlu didekati. Didampingi. Diakrabi. Bukan semata-mata untuk untuk minta tolong ketika musim peperiksaan ataupun di musim-musim tertentu. Mereka ini didekati sentiasa agar diri sentiasa dilingkungi suasana dan biah yang hasanah. Biah yang membawa ke jalan RedhaNya. Alangkah indah bila kalam perbualan dihiasi dengan teguran dan ingatan kepada Allah. Tutur bicara disulam dengan maksud Ayat dan juga Hadis. Inilah antara pesanan yang paling ingin aku pahatkan ke dalam diri, dalam jiwa anak-anak, ke dalam keluarga dan sahabat-sahabat.


Untuk maksud yang agung lagi murni, langkahnya mesti diatur dari sekarang. Dari waktu ia masih kecil. Mesrakan dia dengan para Ulama. Dalam tempoh tujuh hari itu, disunatkan si kecil ini ditahnik. Kalau dahulu para sahabat mampu membawa anak meraka pada Rasulullah Sallallahualaihi wasallam, lalu anak itu ditahnikkan sendiri dengan air liur dan tangan baginda yang suci, lantas si anak membesar menjadi anak yang menjadi. Berbakti, berbudi dan indah pekerti. Oh indahnya! Namun, bak kata pepatah, tiada tanduk, akar pun berguna. Sesungguhnya para Ulama yang menyintai dan beramal dengan sunnahnya masih ada.

Dalam tempoh tujuh hari itu, benak kepala si ayah diberatkan dengan persoalan ini. Dan alhamdulillah Allah Taala juga memudahkan urusan kepadaNya. Benarlah maksud hadis Qudsi yang selalu diulang-ulang, kalau sejengkal kita berusaha mendekati Allah, nesacaya sehasta Allah datang kepada kita dan kalau kita berjalan menuju Allah, pasti Allah berlari kepada kita. Begitu diumpamakan betapa Allah ingin kita mendekatiNya. Dalam ruang yang terbatas ini, si ayah ingin mengabadikan beberapa nama yang telah dipilih Allah Taala untuk membelah mulut si kecil.

Doktor Tahir
Insan yang baik. Sudi meluangkan masa membawa keluarga dengan membawa berbagai barangan makanan menziarahi kami di rumah. Sekaligus mentahnik si Nafi'.


Dr Abdullah as-Syazili
Seorang insan yang berbakti. Sanggup meluangkan masa menunggu kami yang lewat sampai ke masjidnya. Terima kasih juga sahabat-sahabat yang membantu menemani. Semoga ilmu kalian diberkati.


Dr Yusri
Seorang insan yang mata hatinya bersinar sekalipun mata zahirnya kelihatan tiada. Terima kasih menerima kami di rumahnya dalam waktu rehat seusai berkhutbah Jumaat. Bahkan antara titipan doanya yang masih diingat, 'semoga anak ini akan bermanfaat sebagaimana ia dinamakan. Amin! '

Dr Ibrahim al-Husori
Seorang pemidato hebat. Khutbahnya memukau. Seakan beliau mampu melihat jauh ke hadapan dengan mata hati yang disinari al-Quran juga Sunnah. Hati ini menjadi semakin kuat dan bersemangat. Sungguh pada hari Jumaat itu, si ayah ini telah mencari masjid yang khutbahnya tidak terlalu panjang, agar sempat pulang ke rumah, mengambil si Nafi' dan berkejar ke masjid dr Ibrahim. Alhamdulillah, usai sahaja mereka solat Jumaat, si ayah mara dengan mengendong bayinya lalu menyuakan ia kepada tuan doktor.

Dr Ulwah
Dialah guru yang mengingatkan aku kembali tentang syarah Usul Qiraat. Tanpa meminta apa-apa balasan beliau bersungguh-sungguh memberikan kami tuisyen tambahan empat hari seminggu. Pada hari kedua Nafi' dilahirkan, si ayah pergi kelas tuisyen seperti biasa. Di akhir kelas, tuan guru mengambil kesempatan memanjatkan doa kepada Allah Taala agar anugerah si kecil ini diberkati dan membesar menjadi insan yang diredhaiNya. Kami beramai-ramai mengaminkannya!

Saat Mengandungkan Nafi'

Tuesday, July 6, 2010

0 comments
Saat Ibu menulis entri ini, umur Nafi' genap 7 bulan. berat nafi' kini sudah 9kg, bulat dan sihat anak bujang ibu ini. Ayah kata Nafi' sangat kuat main ketika ini, tak reti duduk diam dan sangat manja.

Mengimbau kenangan saat itu, ibu disahkan mengandungkan nafi' seawal usia kakak aisyah 10 bulan. Memang ibu dan ayah tidak merancang namun hanya Allah yang menentukannya. Kami terima kehadiran nafi' didalam rahim ibu dengan penuh redha dan syukur. Cuma ibu ada rasa malu nak bagitahu pada orang lain kerana merasakan masih terlalu awal untuk ibu mengandung lagi. Namun akhirnya kawan2 ibu tahu juga kerana kami terkantul saat ibu dan ayah ke klinik. Hehehe ( lucu pula kalau teringat saat itu )

Sama seperti saat ibu mengandungkan kakak dulu, Alhamdulillah ibu tidak mengalami sebarang alahan. Malah keadaan ibu sepanjang mengandung nafi' lebih segar dan kuat untuk menjalankan tugas2 harian. Badan ibu pun tidak naik mendadak, dan ibu masih kuat untuk berjalan sehingga ke hujung tempoh kehamilan.

Saat ibu mengandungkan nafi', ibu naik flight. dua kali. kali pertama ketika pulang bercuti dari mesir ke malaysia, masa tu usia kandungan baru 4 bulan lebih. risau juga ibu, takut kandungan tak kuat. sakit jugalah perut ibu sepanjang atas flight tu, terutamanya sebab kakak aisyah kerap pijak perut ibu. kesian kakak, meragam ketika flight nak berlepas dan landing. terpaksalah ibu tenangkan dan pujuk kakak. Kali kedua, ketika ingin pulang ke mesir semula. ketika itu usia kandungan sudah masuk tujuh bulan setengah. Banyak juga pro dan contra untuk ibu naik flight ketika itu, ramai yang bimbang ibu terbersalin di atas flight. huhu.. Namun Alhamdulillah semuanya selamat. Masa dalam flight tu, badan ibu rasa sangat sakit. Ibu tak dapat tido langsung di sepanjang perjalanan. Sebab ibu dah sarat, nafi' pun dah kuat tendang2 dan main bola dalam perut ibu.. so, sebab tulah ibu tak selesa duduk dalam flight lama sangat. Ibu rasa serik jugalah naik flight ketika sedang sarat, harap-harapnya ibu takkan naik flight lagi kalau ibu tengah sarat mengandung. hehehe

Saat mengandungkan nafi', ibu ada mengalami kontraksi awal. masa tu usia kandungan baru nak masuk 7 bulan. Ayah sangat risau, takut ibu bersalin awal. Bila kami pergi cek doktor, doktor kata perut ibu dah turun sangat dan baby dah duduk di bawah. debar juga ibu. Namun alhmdulillah kontraksi tu tak datang lagi kali kedua sehingga saat ibu betul2 nak bersalin. Ibu rasa mungkin sebab ibu banyak buat kerja dan banyak kali ibu terpaksa dukung kakak Aisyah yang sangat manja tu.

Ketika di awal usia kandungan, ibu rasa sedikit tekanan. kerana ketika itu ibu masih menyusukan kakak aisyah. ibu sangat sedih kerana terpaksa memberhentikan penyusuan kepada kakak. Ibu terpaksa carikan kakak ibu susuan kerana kakak tidak mahu minum susu dari botol. Berkat usaha dan doa, alhamdulillah kakak mula berhenti menyusu dengan ibu ketika usia kandungan 5 bulan. Bab penyusuan ni, panjang lagi ceritanya. nanti ibu cerita didalam entri yang lain InsyaAllah.

Akhirnya, apa yang ibu nak cerita lagi di sini ialah, Nafi' sangat aktif ketika di dalam perut ibu. ibu rasa nafi' tak reti duduk diam. buktinya sehingga sampai due date, kedudukan nafi' masih tidak tetap. songsang dan ketepi. Alhamdulillah kepala nafi' pusing juga kebawah ketika sehari sebelum nafi' dilahirkan. ketika nafi' didalam kandungan, ibu rasa sakit juga. kerana rasa tajam tulang2 nafi' tu, mungkin inilah rasanya bila mengandungkan anak lelaki. Oh ya, ibu tahu bahawa anak yang didalam kandungan ibu ni lelaki ketika usia kandungan 6 bulan. 3 kali ibu scan, di Johor, di Kelantan dan Di Mesir. semuanya doktor kata lelaki. Ibu gembira kerana dapat juga ibu anak lelaki yang bakal mewarisi keturunan ayah. Semoga Nafi' menjadi anak yang soleh, bertanggungjawab dan menjadi harapan agama, bangsa dan keluarga. Amin

-------------------------------------------------------------------

Gambar-gambar kenangan saat ibu mengandungkan Nafi'


Bersama maksu bilah di kolej Matrikulasi Nilai

Bergambar bersama makngah pada syawal 1430 -
usia kandungan dah masuk 7 bulan

Bersama kakak aisyah yang comel di hari perkahwinan Toksu Chah

Bersama maksu bilah di rumah Cik Ini Ayer Lanas


Usia kandungan sudah 8 bulan setengah - Di rumah kita Tanta Mesir

Bergaya di Hari Raya Aidiladha 1430


Detik terakhir saat mengandungkan Nafi' sebelum ibu ditolak ke bilik bersalin.
Alhamdulillah 'ala salamah.


Saat Mengandungkan Aisyah

Tuesday, February 23, 2010

0 comments


Sekian lama kau dinanti
bersama harapan bersemi
kami berkorban harta bergadai nyawa
agar kau lahir ke dunia.

Menggunung doa telah dihambur
Agar hasrat tiada terlebur
cahaya impian yang dulu kabur
menjadi airmata syukur
cahayamataku

Cahayamataku, penawar kalbu
seharusnya kau tahu
kami sayang padamu
kau permata ayah dan bonda
engkaulah pembela bangsa dan agama

Allah Ya Tuhan kami
kabulkan harapan ini
dengan kasih dan sayang-MU
ampuni dan rahmati dia selamanya...

--------------------------------------------

14 Oktober 2007 bersamaan dengan 2 Syawal, tarikh yang amat bermakna bagi ibu. Ibu buat pregnantcy test, ternyata positif. Hati ibu berbunga riang. Semalamnya bersamaan dengan 1 Syawal adalah hari ulangtahun perkahwinan antara ibu dan ayah yang kedua. Itu bermakna, dua tahun ibu menanti kehadiran cahayamata dalam rumahtangga ini. Alhamdulillah berkat doa dan usaha yang tak pernah putus, Allah kabulkan juga doa ibu dan ayah untuk mempunyai cahayamata sendiri. Apabila ibu mengetahui bahawa ibu sedang hamil, orang pertama yang ibu ingin beritahu adalah ayah. Kerana ketika itu ibu dan ayah sedang berjauhan. Ibu beraya bersama keluarga di Johor manakala ayah di Kelantan. Ternyata ayah gembira dengan berita itu. Namun gembira ayah tidak keterlaluan, kerana kata ayah, perjalanan kita masih jauh. kita perlu menjaga anak didalam kandungan ibu ketika ini sihat sehingga dia lahir kedunia.

Ibu pernah kecewa suatu ketika dulu. Ibu pernah keguguran anak sulong ibu ketika usia kandungan 5 minggu. sekian lama ibu dan ayah menanti kehadiran cahayamata, kami diuji pula dengan kehilangan. Ketika itu ibu sangat sedih, ayah juga begitu. tidak dapat kami gambarkan kesedihan itu. Tidak perlulah ibu bercerita lebih panjang tentang peristiwa itu, Alhamdulillah segalanya telah berlalu dan kini Allah telah anugerahkan ibu dua orang cahayamata yang sangat comel :)

Saat mengandungkan Aisyah, ibu ditatang bagai minyak yang penuh oleh ayah. Ibu selalu dimanja dan dibelai. Oh, sungguh indah saat itu :). Ayah terlalu amik berat tentang kesihatan ibu dan aisyah di dalam kandungan ibu.

Saat mengandungkan Aisyah, badan ibu naik mendadak. seawal kehamilan lagi. badan ibu dah naik. mungkin disebabkan hormon selepas keguguran. Badan ibu sangat berisi sehingga saat hendak melahirkan AIsyah, berat badan ibu menjangkau 75 kg. berat kan? hehe...

Saat mengandungkan AIsyah, ibu agak letih. hampir setiap bulan ibu diserang demam. ibu selalu sakit urat di kaki dan punggung. Ayah selalu urut ibu. Baikkan ayah? (^_^)

Saat mengandungkan Aisyah, ibu tidak mengalami sebarang alahan. ibu jarang muntah-muntah. jarang sekali. hanya ketika ibu kurang sihat sahaja ibu akan muntah. ibu sangat selera makan dan masak. Ibu sangat rajin memasak ketika itu sehingga ibu dan ayah pernah berniaga di bazaar. Mencari sedikit duit buat menampung kos untuk menyambut kehadiran Aisyah.

Saat mengandungkan Aisyah, ibu selalu pening kepala. ibu tak tahan berdiri terlalu lama. macam nak tumbang rasa. sebab tu ada kerusi di dapur. Ibu selalu duduk sambil buat kerja.

Saat mengandungkan Aisyah, ibu perlu study. Ketika itu ibu berada di tahun 3. tahun 3 yang ibu ulang entah yang keberapa kali. Alhamdulillah ibu najah juga akhirnya untuk naik ke tahun 4. Rezeki anak di dalam kandungan.

Saat mengandungkan Aisyah, ibu rajin mengaji. Alhamdulillah ibu dapat khatam al-quran sebanyak 4 kali sepanjang tempoh kehamilan. Harapan dan doa ibu, agar aisyah menjadi Hafizah quran macam ayah. Moga aisyah mendapat berkat al-Quran, menjadi anak yang solehah, beriman dan bertaqwa. Amiin :)

Aisyah sayang, Sesungguhnya ibu sangat sayang padamu. Aisyah anak sulong ibu. kehadiran Aisyah sangat dinanti oleh ibu dan ayah. Kehadiran aisyah menyerikan lagi rumahtangga ini. Semoga Aisyah menjadi permata kami di syurga nanti.. amin

-------------------------

Gambar-gambar kenangan saat ibu mengandungkan Aisyah.



Ketika usia kandungan 6 bulan. Ibu dan ayah berniaga di Bazaar.
Alhamdulillah laris tau Nasi Tomato ibu :)

Usia kandungan masa ni 8 bulan. Ibu dah sarat. Masa ni ibu di station keretapi Tanta. Ayah menghantar ibu ke kaherah untuk ibu menduduki exam.

Ibu tak ingat usia kandungan ketika ini berapa bulan? mungkin 7 bulan. bergambar selepas keluarkan duit dari bank. Lepas tu jalan-jalan beli keperluan untuk menyambut kelahiran Aisyah kalau tak silap ibu lah... hehe :)


Usia kandungan baru 5 bulan. tapi badan ibu dah berisi. Nampak sangat perut tu besar...
---------------------------------------------------

Antara persiapan yang ibu dan ayah sediakan untuk
menyambut kelahiran Aisyah
.







Semoga Aisyah membesar menjadi insan solehah yang beriman lagi bertaqwa kepada Allah SWT. Jadilah mawar yang berseri di taman syurga...


Blog @ Scrapbook

Monday, February 15, 2010

0 comments
Suatu hari ibu pernah membaca majalah Pa & Ma. Ibu tertarik dengan artikel yang menceritakan tentang buku skrap. Mereka mencadangkan agar ibubapa membuat buku skrap untuk menyimpan memori tentang si buah hati dari ia lahir sehingga besar.

Sejak dari itu ibu menyimpan cita-cita untuk membuat buku skrap untuk anak ibu. Sejak dari aisyah lahir, ibu ingin mengabdikan detik-detik indah setiap hari bersama anak ibu di dalam sebuah buku. Namun, untuk mencipta sebuah buku skrap, ia memerlukan masa dan kos. Bagi ibu, kos itu tiada masalah, masalah yang amat besar adalah masa. Ibu tidak punya banyak masa untuk menyiapkan sebuah buku skrap. Kerana ibu masih study. Masa yang ada amat berharga untuk membaca kitab-kitab kuliah dan menghafalnya.

Justeru, ibu mencipta blog ini bagi menggantikan buku skrap tersebut. Blog ini bukan untuk tatapan umum dan blog ini tidak ibu hebahkan kepada sesiapan pun. Ibu ingin merakamkan segala memori bersama anak-anak ibu di dalam blog ini. Harapan ibu, bila anak-anak ibu sudah besar dan boleh membaca, dapatlah anak-anak ibu membaca segala tulisan ibu di dalam blog ini. Biar anak ibu tahu isi hati ibu, biar anak ibu tahu perjalanan hidup ibu dalam membesarkan kalian. Semoga blog ini menjadi memori indah buat kita sekeluarga.