:: " WAHAI ANAK KESAYANGANKU, BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH WALAU DI MANA SAHAJA KAMU BERADA. DAN JANGAN SESEKALI KAMU MENYEKUTUKAN ALLAH DENGAN SESUATU YANG LAIN " ::

Facebook Badge

About Me

My photo
Cukuplah hanya ku katakan bahawa cita-citaku menjadi seorang isteri yang solehah dan menjadi ibu yang berpegang teguh kepada agama Allah dan Rasul-Nya.. Melahirkan generasi al-Quran yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Ayah Ibu

Ayah Ibu

Kakak

Kakak

Abang Ngah

Abang Ngah

Adik

Adik


Rinduu Abang dan Abang Ngah ~ :)

Friday, September 30, 2011

0 comments



Ucapkanlah dikala berjauhan ( Malaysia - Mesir 2011 )

Tuesday, September 27, 2011

0 comments


Memori dan kenangan indah saat kita bersama. Di Bumi Mesir kita dipertemukan, di bumi barkah ini kita disatukan dan di ardhul kinanah ini lahirnya buah cinta kita. Semoga cinta ayang dan abang terus mekar mewangi hingga ke taman firdausi ~ Amiin.

Bercinta di pyramid Giza .

Bercinta bersama buah cinta sulong yang sangat dinanti-nantikan.

Bercinta di Ro'su Bahr.

Bercinta di pantai Agiba Matruh.

Bercinta lagi.

Bercinta di Fayyum.

dan terus bercinta di tanah air Malaysia.

" Kau ku sayangi
teman sejati ,
dikaulah sesungguhnya
insan bernama kekasih "

Friday, September 16, 2011

0 comments


FALSAFAH RAMADHAN

Friday, August 5, 2011

0 comments

SELAMAT DATANG WAHAI RAMADHAN! Bulan yang mulia penuh keampunan dan ganjaran. Di dalamnya ada lailatul qadar. Diturunkan padanya al-Quran. Disyariatkan dengannya ibadah ‘Siyam’; menahan diri dari makan, minum dan syahwat sepanjang siangnya. Bertuah lagi beruntung mereka yang memanfaatkan bulan ini untuk mencapai maghfirah. Celaka dan rugilah bagi sesiapa yang mendapat Ramadhan tetapi mensesiakannya. Itulah doa makhluk yang dicipta hanya melakukan ketaatan semata-mata; Jibril alaihis salam. Ia diaminkan pula oleh sebaik-baik makhluk pernah dicipta, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.

Oleh itu, mari kita berpuasa! Ya, berpuasa dalam erti kata yang sebenar. Menahan diri dari makan, syahwat dan segala yang menghanguskan pahala puasa. Menahan hati, perasaan dan pemikiran dalam erti kata mengawal semua itu dari memfokuskan perkara negatife, lucah dan tidak berfaedah. Seterusnya berpuasa anggota dari menyentuh, merenung, mendengar, melangkah dan merasa perkara yang waima ia halal di luar musim Ramadhan. Itulah dia puasa.

Siyam; Mendidik hati dan anggota meninggalkan aktiviti noda dan yang mendatangkan dosa. Apabila sudah mula meninggalkan dosa, maka dengan izin Allah jalan berbuat pahala itu akan semakin terbuka. Ketika itu, rebutlah! Kautlah! Aplikasikan segala peluang untuk mencapai sasaran yang sebenar difardhukan ibadah siyam; puasa. Allah Taala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (١٨٣) البقرة

183. Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Selain itu,pada ibadah puasa itu juga terkandung hikmah dan falsafah bagi yang memikir. Antaranya seperti:

IBADAH ITU HANYA UNTUK ALLAH TAALA

Jika kita perhatikan rukun Islam yang lima, semuanya adalah perintah melakukan perbuatan ibadah kepada Allah. Ketika mana Allah Taala berfirman,

ِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ (١١٤) هود

114. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan.

Termasuk juga di situ ialah kalimah لا إله إلا الله . Rasulullah sallallahu alaihi wasallam pernah berpesan kepada Abu Zar Al-Ghiffari,

يا معاذ ! اتقِ الله , وخالِقِ الناسَ بخُلُقٍ حسَن وإذا عَمِلْتَ السيئةَ فأَتْبِعْها حسنة قال: قلتُ: يا رسول الله! ألا إله إلا الله من الحسنات ؟ قال: هي من أكبر الحسنات .

Wahai Muaz! Bertaqwalah kepada Allah. Gaulilah orang lain dengan akhlak yang baik, dan apabila kamu melakukan dosa, segeralah ikutinya dengan kebaikan. Aku bertanya, wahai Rasulullah, adakah la ilaaha illa llah termasuk dalam amal kebaikan? Rasulullah menjawab: Ia adalah antara amal kebaikan yang paling besar.

Ibadah solat pula ibarat dari perintah Allah Taala supaya kita melakukan qiam, rukuk, sujud dan sebagainya. Ibadah zakat pula manifestasi dari arahan mengeluarkan sejumlah harta untuk Allah setelah cukup syarat-syaratnya. Ibadah haji memerintahkan kita agar mengumpulkan rezeki dan tenaga halal, berjalan mengelilingi kaabah, melontar batu dan lain-lain lagi.

Keempat-empat rukun tadi dalam bentuk perintah. Berbeza dengan ‘siyam’. Ia melarang daripada perkara yang halal, haram dan makruh; makan, jima’ dan segala yang menghapuskan pahala. Mengapa Allah tidak mensyariatkan semua ibadah itu dengan perintah sahaja? Mengapa ada juga perintah berbentuk larangan seperti larangan makan ketika berpuasa ini? Sebenarnya, itulah hikmah Siyam. Ia mengajar umat Islam agar berbuat dan tidak melakukan sesuatu ibadah itu mestilah hanya dan untuk Allah Taala semata-mata.

MAHABBATULLAH

Ibu bapa yang normal tidak akan sanggup membiarkan anak mereka kesusahan, kelaparan, dan kelelahan. Namun, malangnya masyarakat hari ini apabila golongan yang melakukan zina, melahirkan dan membuang bayi itu dilihat semakin hari semakin bertambah, Sungguh, kewarasan itu semakin hilang dalam suasana masyarakat hari ini.

Orang yang mempunyai mental dan pemikiran sihat tidak akan membiarkan orang lain mendapat kesusahan, apatah lagi jika orang itu ada hubungan kekeluargaan dengan mereka. Seorang ibu tidak akan berdiam diri apabila anaknya menangis di tengah keenakan tidur manusia kerana hendak makan, minum, susu dan sebagainya. Akan diusahakan jua. Ayahnya pun sama akan digagahkan juga. Apatah lagi melihat anaknya tidak bermaya, lesu dan letai. Itulah murninya kasih sayang manusia sesama mereka. Kayu ukur kita ialah yang lapar diberi makan, dan yang letih itu disuruh berehat.

Justeru, mengapa pula kita diperintah supaya berlapar? Berdahaga dan menyekat keinginan nafsu dalam ibadah “siyam” ? Tidakkah itu bertentangan dengan kayu ukur kita tadi; tidak murni dan tidak normal; benarkah demikian?

Atau ia sebenarnya lambang kasih sayang juga. Cinta dari Allah kepada hambanya. Jika begitu, maka kayu ukur kita tadi telah salah. Atau macam manakah solusinya? Sebenarnya kayu ukur kita tidak bersalah. Yang tak betul ialah ia digunakan untuk menyukat kasih sayang Allah Taala pula. Sedangkan namanya kayu ukur manusia. Dalam menghitung kasih sayang Allah, kita perlu mengguna pakai pembaris yang diberikan olehNya sahaja. Sabda Rasulullah sallallahu alaihi asallam yang bermaksud:

“ Sesiapa yang berpuasa satu hari di jalan Allah, nescaya Allah akan jauhkan mukanya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun.”

“Puasa adalah perisai. Sedekah akan memadamkan kesalahan seperti air memadamkan api dan begitu juga seorang lelaki yang bangun di pertengahan malam.”

“Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan dusta dan terus mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat agar dia meninggalkan makanan dan minumannya(yakni berpuasa).”

“Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala sepertinya dan ia tidak akan mengurangkan pahala orang yang berpuasa itu walau sedikit.” Hadis ini dipopularkan oleh YB Senator Dato’ Doktor Johari Mat dengan istilah Takaful Ramadhan. Suatu projek pelaburan Rabbani yang sangat menguja dan menguntungkan semua! Cubalah!

Namun awas,

“Sangat malang, orang yang berkesempatan melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya.” Ingatlah juga kepada firman Allahdalam surah al-Baqarah ayat ke 185 yang bermaksud:

“ Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.”

Kalau fakta dalil yang ada sukar difahami kaitannya maka cuba perhatikan pula kajian dan penemuan berikut:

1. Penurunan Berat Badan

Ini dapat membantu individu yang mengalami berat badan berlebihan atau obes untuk menurunkan berat badan mereka dengan cara yang sihat dan murah. Bagi pesakit diabetes dan tekanan darah tinggi pula, ini dapat menurunkan paras tekanan darah serta kandungan gula mereka dengan lebih baik. Penurunan berat badan daripada amalan puasa Ramadan adalah berbeza dengan amalan crash diet atau cara diet untuk menurunkan berat badan lain seperti langsung tidak makan nasi (hanya minum air). Penurunan berat badan dengan berpuasa selalunya lebih stabil di mana pesakit tidak mengalami masalah kenaikan berat badan secara mendadak sekiranya seseorang berhenti puasa.

2. Mempercepat Proses Pemulihan

Ketika berpuasa, penggunaan tenaga diarahkan dari sistem penghadaman ke sistem-sistem lain seperti penyembuhan, imun atau metabolisme badan. Manakala, proses penggantian tisu yang rosak menjadi bertambah baik hasil proses pembentukan protein sintesis yang semakin berkesan yang disebabkan oleh antibodi badan yang lebih teratur. Pembentukan protein yang lebih efisien akan menghasilkan sel-sel serta tisu yang lebih sihat. Kajian turut mendapati berlaku penurunan suhu badan dan kemerosotan kadar asas metabolisme badan ketika berpuasa menjadikan badan menyimpan lebih tenaga.

3. Solat Tarawih Memetabolismekan Makanan

Cantik sekali apabila bulan puasa turut diiringi dengan sembahyang sunat tarawih pada sebelah malamnya. Ianya membantu memproses makanan yang dimakan ketika berbuka untuk digunakan sebagai tenaga (sehingga 200 kalori). Di samping itu, ianya juga bertindak sebagai satu cara senaman yang ringkas dan baik untuk menguatkan sistem kardiovaskular (jantung dan aliran darah).

4. Mendisiplinkan Diri Agar Berhenti Merokok

Amalan puasa juga dapat melatih diri meninggalkan amalan yang kurang baik seperti mengurangkan nikotin yang berbahaya di dalam tubuh perokok. Ketika siang hari, perokok boleh meninggalkan rokok kerana terpaksa berpuasa manakala pada malam hari, perokok boleh meninggalkan rokok kerana takut akan kemudaratan kesihatan seperti penyakit kanser paru-paru, sakit jantung dan penyakit sekatan pernafasan.

5. Allan Cott, M.D.

Seorang pakar dari Amerika Syarikat, telah menghimpun hasil pengamatan dan penelitian para ilmuwan berbagai negara, lalu menghimpunnya dalam sebuah buku Why Fast iaitu berbagai hikmah puasa, antara lain: a. To feel better physically and mentally (merasa lebih baik secara fizikal dan mental).
b. To look and feel younger (merasa lebih muda).
c. To clean out the body (membersihkan badan)
d. To lower blood pressure and cholesterol levels (menurunkan tekanan darah dan kadar lemak.
e. To get more out of sex (lebih mampu mengendalikan seks).
f. To let the body health itself (membuat badan sihat dengan sendirinya).
g. To relieve tension (mengendurkan ketegangan jiwa).
h. To sharp the senses (menajamkan fungsi sense).
i. To gain control of oneself (memperolehi kemampuan mengendalikan diri sendiri).
j. To slow the aging process (memperlambat proses penuaan).

ebook fast

Sejak zaman dulu puasa dipakai sebagai pengubatan yang terbaik seperti kata Plato bahwa puasa adalah untuk mengubati sakit fizikal dan mental. Philippus Paracelsus mengatakan bahwa “Fasting is the greatest remedy the physician within!”

Puasa sudah diakui menjadi penyembuh terhebat dalam menangani penyakit, bahkan di Amerika ada pusat puasa yang diberi nama “Fasting Center International, Inc”, Director Dennis Paulson yang berdiri sudah sejak 35 tahun yang lalu, dengan pesakit dari 220 negara. Yang mencadangkan Puasa dalam:
(1) program penurunan berat badan,
(2) mengeluarkan toxin tubuh,
(3) puasa dapat memperbaiki energy, kesehatan mental, kesehatan fisik dan yang paling terpenting meningkatkan kualiti hidup.

Sayangnya Allah kepada kita sehingga tidak cukup dengan segala rezeki dan kekuatan yang diberi kepada kita, Allah menunjukkan pula jalan kejayaan, ketaqwaan dan kesihatan. Salah satu daripada jalan itu ialah ‘Siyam’. Cinta Allah kepada hambaNya menjadikan mereka suci, bertambah baik dan elok.

Namun tidak semua akan berjaya mendapat mahabbah qudus ini. Hanya yang terpilih sahaja. Oleh itu marilah kita lipatgandakan usaha serta strategi agar yang terpilih itu ialah kita!

Rujukan:

1. Puasa dan Ramadhan, Jabatan Hal ehwal Agama Islam Negeri Kelantan

2. Kertas Kerja Hukum Semasa Berkaitan Puasa, Abu Anas al-Madani@Dr Basit Abd Rahman

3. Pidato persediaan menyambut Ramadhan:

YB Senator Dato’ Doktor Johari Mat, Ketua Eksekutif KIAS

Al-Fadhil Dr Nasr Said Abdul Maqsud, Universiti al-Azhar.

4. Laman sesawang:

http://www.tranungkite.net/v10/modules.php?name=News&file=article&sid=7162'

http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/penafian/450-puasa-dari-sudut-perubatan.html

Pengalaman mengaji buat anak-anak

Thursday, July 28, 2011

0 comments

(Wajah dalam gambar di atas ialah Dr. Nasr Said . Salah seorang guru ayah di al-Azhar. Semoga Allah memberkati beliau dan semua guru-guru yang sudi menunjuki kami ke jalanNya, amin!) Kali ini ayah akan bercerita tentang pengalaman belajar. Atau lebih tepat juga, pengajaran yang diperoleh menerusi pengalaman belajar. Ya anak-anak, sesungguhnya belajar dalam belajar itu suatu kesenian. Di sini ayah ingin berkongsi dengan kalian maklumat tentang macam mana nak belajar. Sebenarnya boleh juga diubah kepada macam mana nak berjaya? Atau nak diubah kepada macam nak cemerlang, mumtaz dan excellent dan sebagainya. Ayah semasa belajar bukanlah dari kalangan pelajar yang pandai. Bahkan selalunya ayahlah yang lambat faham tentang sesuatu perkara. Semasa di Universiti ayah lebih dikenali sebagai tukang fotostat. Kenapa? Sebab semua nota kawan-kawan akan ayah fotostat. Kemudian ayah akan bahagi-bahagikan pula kepada kawan-kawan yang lain. Ayah nak buat sendiri, banyak halangan. kekangan masa, runtunan tugas kepada kawan-kawan yang lain, keterbatasan kefahaman terhadap subjek dan sebagainya. Tapi itu semua tidak menghalang ayah dari berusaha. Ya, mengikut kemampuan.


Dipendekkan cerita, perkara utama yang mendorong ayah sehingga sampai kepada apa yang dimiliki sekarang ialah, yang walaupun ia memang terlalu amat kerdil dan kecil namun, setidak-tidaknya ayah mempunyai sesuatu. Dan dengannya ayah boleh bercerita, khasnya kepada anak-anak tersayang. Semoga kamu semua mendapat manfaat dan menjadi soleh, solehah, beriman dan bertaqwa. Seperti yang selalu ayah pesankan ke telinga kamu sejak kecil. Ya, ayah ingin berjaya. Ayah ingin belajar. Ayah ingin mencapai ilmu, merasainya, menghadamnya dan mengungkapnya. Itulah keinginan ayah. Alhamdulillah sehingga saat ini, rasa itu masih ada di dalam hati. Semoga Allah memeliharanya bersama iman dan taqwa.


Untuk belajar, berjaya dan cemerlang, kamu mesti punya keghairahan untuk semua itu. Keinginan, kehendak, kemahuan, dan segala yang seertinya terhadap ilmu dan kejayaan itu mesti ada dalam diri. Kerana dengan keinginan yang jitu, membuak-buak berkobar dan kemahuan yang bersungguh sahajalah mampu menggerakkan diri untuk berusaha ke arahnya. Jika mulut berkata ingin berjaya, tapi hati tidak menyahut, itu belum betul-betul lagi. Keinginan hati itu mesti kuat. Sebal dan bebal. Tebal dan kebal. Kerana yang pasti, untuk mencapai sesuatu akan ada halangan dan cabaran. Jika keinginan tidak utuh, mudah saja runtuh.


Selalulah ingat, firman pertama diturunkan dengan konsep pengetahuan. Mengajak memperkaya maklumat dan tamadun peradaban. Nabi juga selalu berpesan, Menuntut ilmu satu kewajipan. Walau sejauh mana pun. Walau ke liang lahad sekalipun.


Apabila sudah kukuh rasa di jiwa dan ditambah pula dengan baja semaian iman dan taqwa melalui titipan doa yang jangan sekali-kali putus, mudah-mudahan jalannya akan lebih mudah terbuka dan menampakkan diri. Pada ketika itu, rancanglah sekadar termampu. Tetapkan target, masa, tempat dan pergerakan. Tentukan juga semua itu realistik dan boleh dicapai. Bukan mustahil maksudnya. Kenali halangan dan cabaran yang mungkin menjelma, siapkan diri dan bekalan untuk menghadapi onak duri tersebut. Aturkan masa dan tugas. Seterusnya, bertawakkallah. Macam mana? Laksanakan perancangan. Apa yang bakal terjadi kesan dari perancangan tersebut; berjayakah atau gagalkah itulah yang mesti diserah tawakkal kepada Allah. Yang penting, usaha berjalan dan pasti akan ada sesuatu yang bakal dperoleh. Tidak apa yang dikehendaki, malah mungkin apa yang lebih dihajati. Sesungguhnya perancangan Allah itu lebih telus dan hikmahnya.


Rasanya setakat itu dulu buat kali ini, semoga anak-anak ayah akan membesar dengan baik dan berjaya di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.
Salam Ramadhan 1432. Bilik no 6 pensyarah lelaki, KIAS, Nilam Puri.
4.45 petang(Azan Asar sedang berkumandang)

Marhaban ya nur aini!

Thursday, March 31, 2011

0 comments
Kita akan mati dalam keadaan yang paling kerap diamalkan." Mafhum hadis. Semoga kita berangkat menuju Allah dalam keadaan yang diredhainya. Hati bersama Allah. Beribadat. Bersolat dan membaca al-Quran sebagai contoh mudah. Salah seorang dari Ulama Tabi'in, kalam akhirnya sewaktu akan diangkat ruhnya menuju Allah ialah (ثم ردوا إلى الله مولام الحق) surah al-An'am ayat 62. Kemudian mereka (yang diambil nyawanya itu) dikembalikan kepada Allah Pengawas mereka yang sebenar (yang akan membalas dengan adil). Ketahuilah, bagi Allah jua lah kuasa menetapkan hukum (pada hari kiamat itu), dan Dia lah secepat-cepat Pengira – Penghitung.

Seorang lagi ulama Islam yang terkenal di medan dakwah menerusi karangannya yang hampir lima puluh buah mencakupi pelbagai bidang turut menemui Allah dalam keadaan yang selalu diamalkan beliau. Dr Abdullah Nasih Ulwan, Dilahir dan dibesarkan di Syria, kemudian berhijrah ke Jordan dan akhirnya ke Arab Saudi. Dikenali sebagai seorang yang sangat sukakan ilmu. Antara kegemarannya yang ketara ialah membaca. Beliau mengadap ilahi dalam keadaan sedang membaca buku.

Teruskan membaca
Dalam ruang yang masih berbaki, marilah kita penuhi dengan segala macam aktiviti yang diredhaiNya. Sebagai pengisi kolum kali ini, marilah sama-sama kita akrabi riwayat hidup seorang ulama tabi'in yang disebutkan di awal tadi. Nama beliau sebenarnya ada tersimpan hampir di setiap rumah orang Islam sekarang ini. Ini kerana masing-masing akan memiliki sekurang-kurangnya satu mushaf al-Quran yang mulia. Dan kebanyakan muslim sekarang membaca dengan riwayat Hafs, anak murid imam 'Asim al-Kufi. Di penghujung mushaf tersebut, akan ada satu penerangan ringkas tentang cara bacaan dan penulisan yang terdapat di dalamnya. Disitulah turut diabadikan beberapa nama yang hebat dalam sejarah Islam. Antaranya ialah, Imam 'Asim rahimahullah Taala.

Beliau ialah 'Asim bin Abdullah (Abi Najud al-Kufi) bin Malik bin Nasr bin Qi'in bin Tsa'labah. Salasilah keturunan beliau bersatu dengan Adnan, yang merupakan salah seorang datuk dalam salasilah keturunan baginda rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Ibunya bernama Bahdalah. Imam Asim seorang tabi'in besar di Kufah, tanah Iraq yang telah dimusnahkan oleh Amerika dan sekutu-sekutunya. Malangnya masyarakat hari ini boleh pula berbangga dapat berjumpa dengan presiden Amerika itu. Selain itu, imam Asim juga seorang yang dipercayai dalam ilmu Hadis. Imam Abu Bakar 'Ayyash-Syu'bah pernah berkata, Imam Asim itu alim dalam hadis, bahasa, nahu dan fiqh.

Antara guru beliau ialah, Abd Rahman as-Sulami, Abi Maryam bin Habish al-Asadi dan Abu Amru Saad as-Syaibani. Ketiga-tiga tabi'in tadi mempelajari al-Quran dengan Abdullah bin Mas'ud radiallahu 'anhum. Antara murid Imam Asi pula seperti al'-A'amash, al-Mufaddhol, Syu'bah, Hafs dan ramai lagi.

Berkata Yahya bin Adam, Aku tidak pernah jumpa orang yang lebih fasih dari imam Asim. Apabila beliau berbicara, kalamnya seakan sebuah fantasi.

Imam Abdullah bin Ahmad bin Hambal pernah betanya kepada bapa beliau tentang imam Asim ini, lalu dijawab, Imam asim itu seorang yang soleh, baik dan dipercayai. Lalu Imam Abdullah bertanya lagi, apakah qiraat yang engkau sukai? Jawab bapa beliau, qiraat ahli Madinah. Kalau aku tidak membaca qiraat tersebut aku akan pilih qiraat 'Asim.

Imam 'Asim mempunyai ramai murid. Yang paling dikenali di kalangan mereka itu ialah Syu'bah dan Hafs.
Ada orang pernah bertanya, mengapa ada perbezaan bacaan antara Hafs dan Syu'bah, sedangkan kedua-duanya berguru dengan imam Asim.
Secara ringkasnya, perbezaan yang berlaku tidak hanya kepada Imam Asim dan dua perawinya itu sahaja. Bahkan ia turut terdapat pada imam-imam qiraat yang lain. Siapakah yang dmaksudkan dengan imam di sini? Yang dimaksudkan di sini ialah 10 imam qiraat yang masyhur qiraat mereka itu mempunyai susur galur muktabar yang sampai kepada Rasullullah sallallahu alaihi wasalam. Mengapa dikatakan masyhur? Ini kerana para ulama qiraat mengatakan dengan sekian banyak perbezaan bacaan yang terdapat dalam qiraat 10 itu masih belum dapat dispastikan bahawa itulah semua qiraat yang dimaksudkan dengan hadis nabi, unzila quran 'ala sab'ati ahruf. Dengan demikian para ulama tidak menafikan kebarangkalian wujudnya ilmu-ilmu qiraat yang tidak sempat sampai kepada generasi hari ini. Justeru 10 imam Qiraat itu ialah gelaran kepada mereka yang masyhur di dalam imu qiraat. Itulah serba ringkas yang sempat dikongsikan bersama kali ini. Semoga ada kesempatan dan izin tuhan untuk kita bersua kembali, samada di alam maya ataupun di alam realiti. Yang penting dalam keadaan diredhaiNya.

Mengambil kira riwayat hidup ulama ulung imam Asim ini, maka kami memohon doa kepada Allah semoga dipertemukan dengan beliau. Jika tidak di alam ini, cukuplah dahulu dengan nama beliau sebagai muqaddimah kepada siri-siri pertemuan yang lebih bahagia di syurga, amin! Maka saya dengan rendah hati memohon jasa teman-teman agar turut mendoakan buah cinta ketiga kami, Asim bin Mohd Nurul hisyam dan kita semua agar dimasukkan Allah taala ke dalam golongan hambaNya yang bertaqwa, beriman dan diredhaiNya. Katakanlah, amin!