:: " WAHAI ANAK KESAYANGANKU, BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH WALAU DI MANA SAHAJA KAMU BERADA. DAN JANGAN SESEKALI KAMU MENYEKUTUKAN ALLAH DENGAN SESUATU YANG LAIN " ::

Facebook Badge

About Me

My photo
Cukuplah hanya ku katakan bahawa cita-citaku menjadi seorang isteri yang solehah dan menjadi ibu yang berpegang teguh kepada agama Allah dan Rasul-Nya.. Melahirkan generasi al-Quran yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Ayah Ibu

Ayah Ibu

Kakak

Kakak

Abang Ngah

Abang Ngah

Adik

Adik


Suatu ketika, tujuh hari.

Wednesday, July 7, 2010


6.30 petang.
8 Disember 2009.

Terima kasih Tuhan atas anugerah yang bermanfaat ini. Dengan harapan dia akan memberi manfaat kepada dirinya, kedua ibu bapanya, keluarga, agama dan alam sejagat lalu dinamakan dia dengan Nafi'.

Pada waktu mengalunkan azan ke cuping telinganya, hatiku berbisik, adakah sebak hati dan mata sewaktu mengazankan Aisyah dulu akan kembali. Sedang hati bertanya, tiba-tiba kolam air mata terasa ingin melimpah. Seakan ditimpa satu bebanan yang berat ke sudut tengah kolam yang tenang, lalu ia berkocak memercikkan kehangatan air yang tersimpan. Sebenarnya di ketika itu, terlintas di hati, satu perasaan yang maha berat, persoalan yang ringkas tapi cukup mengesankan. Ya Allah, mampukah aku menjaga amanah dan anugerah ini menjadi hamba yang Engkau Redhai? Sungguh, perjalanannya, perjalananku dan perjalanan itu panjang lagi berliku.
Di dalam mencari jawapan, aku tiba ke penghujung iqamah. La Ilaha Illa Allah. Tiada Tuhan selain Allah. Dia yang menjadikan, hanya kepadaNya jua dikembalikan segala permohonan.

Perjalanan seorang hamba untuk keluar menemui cahaya matahari bermula sejak awal lagi. Sejak ia mula melekat di dinding rahim si ibu. Bahkan perjalanannya telah bermula lebih awal lagi. Sesetengah ulama mengatakan bermula dari pemilihan pasangan lagi. Bagaimana memilih pasangan, seperti itulah anak kita. Bahkan al-Quran sendiri menetapkan bahawa orang yang baik ialah untuk pasangannya yang baik. Kalau begitu, semua orang kena jadi baiklah. Betul, semua orang kena jadi baik. Bukankah itu juga sebenarnya salah satu hadaf diutuskan Nabi. Untuk membawa umat manusia ke akhlak yang baik.

Mengenangkan semua ini, hati sang ayah boleh jadi lemah tak bermaya. Mencari-cari sumber kekuatan. Kerana dia sedar dirinya penuh noda dan dosa. Lalu mampukah dia, sendirian menjaga amanah dan anugerah yang sangat berharga itu? Tentu sekali tidak. Talian hayat perlu dicari. Sebagai pembantu. Kepada si anak agar dapat membesar menjadi orang yang soleh, beriman dan bertaqwa. Kepada si ayah agar bersemangat sentiasa mengislah diri dan memimpin keluarga menjauh dari lubang-lubang celaka.

Langkah-langkah perlu disusun. Strategi perlu dikemaskini. Kalimah akhir iqamah itu mesti dirujuk kembali. Macam mana ingin kembali kepada Allah? Dengan ilmu. Belajar. Bertanya. Kepada siapa? Tentu sahaja kepada yang 'Alim. Mana-mana 'alim sahajakah? Kerana orientalis juga boleh jadi 'alim? Tenang-tenang sahaja. Bukankah al-Quran pernah berkata, yang paling 'alim itu ialah yang paling takut, gerun dan taqwakan Allah. Mereka ini perlu didekati. Didampingi. Diakrabi. Bukan semata-mata untuk untuk minta tolong ketika musim peperiksaan ataupun di musim-musim tertentu. Mereka ini didekati sentiasa agar diri sentiasa dilingkungi suasana dan biah yang hasanah. Biah yang membawa ke jalan RedhaNya. Alangkah indah bila kalam perbualan dihiasi dengan teguran dan ingatan kepada Allah. Tutur bicara disulam dengan maksud Ayat dan juga Hadis. Inilah antara pesanan yang paling ingin aku pahatkan ke dalam diri, dalam jiwa anak-anak, ke dalam keluarga dan sahabat-sahabat.


Untuk maksud yang agung lagi murni, langkahnya mesti diatur dari sekarang. Dari waktu ia masih kecil. Mesrakan dia dengan para Ulama. Dalam tempoh tujuh hari itu, disunatkan si kecil ini ditahnik. Kalau dahulu para sahabat mampu membawa anak meraka pada Rasulullah Sallallahualaihi wasallam, lalu anak itu ditahnikkan sendiri dengan air liur dan tangan baginda yang suci, lantas si anak membesar menjadi anak yang menjadi. Berbakti, berbudi dan indah pekerti. Oh indahnya! Namun, bak kata pepatah, tiada tanduk, akar pun berguna. Sesungguhnya para Ulama yang menyintai dan beramal dengan sunnahnya masih ada.

Dalam tempoh tujuh hari itu, benak kepala si ayah diberatkan dengan persoalan ini. Dan alhamdulillah Allah Taala juga memudahkan urusan kepadaNya. Benarlah maksud hadis Qudsi yang selalu diulang-ulang, kalau sejengkal kita berusaha mendekati Allah, nesacaya sehasta Allah datang kepada kita dan kalau kita berjalan menuju Allah, pasti Allah berlari kepada kita. Begitu diumpamakan betapa Allah ingin kita mendekatiNya. Dalam ruang yang terbatas ini, si ayah ingin mengabadikan beberapa nama yang telah dipilih Allah Taala untuk membelah mulut si kecil.

Doktor Tahir
Insan yang baik. Sudi meluangkan masa membawa keluarga dengan membawa berbagai barangan makanan menziarahi kami di rumah. Sekaligus mentahnik si Nafi'.


Dr Abdullah as-Syazili
Seorang insan yang berbakti. Sanggup meluangkan masa menunggu kami yang lewat sampai ke masjidnya. Terima kasih juga sahabat-sahabat yang membantu menemani. Semoga ilmu kalian diberkati.


Dr Yusri
Seorang insan yang mata hatinya bersinar sekalipun mata zahirnya kelihatan tiada. Terima kasih menerima kami di rumahnya dalam waktu rehat seusai berkhutbah Jumaat. Bahkan antara titipan doanya yang masih diingat, 'semoga anak ini akan bermanfaat sebagaimana ia dinamakan. Amin! '

Dr Ibrahim al-Husori
Seorang pemidato hebat. Khutbahnya memukau. Seakan beliau mampu melihat jauh ke hadapan dengan mata hati yang disinari al-Quran juga Sunnah. Hati ini menjadi semakin kuat dan bersemangat. Sungguh pada hari Jumaat itu, si ayah ini telah mencari masjid yang khutbahnya tidak terlalu panjang, agar sempat pulang ke rumah, mengambil si Nafi' dan berkejar ke masjid dr Ibrahim. Alhamdulillah, usai sahaja mereka solat Jumaat, si ayah mara dengan mengendong bayinya lalu menyuakan ia kepada tuan doktor.

Dr Ulwah
Dialah guru yang mengingatkan aku kembali tentang syarah Usul Qiraat. Tanpa meminta apa-apa balasan beliau bersungguh-sungguh memberikan kami tuisyen tambahan empat hari seminggu. Pada hari kedua Nafi' dilahirkan, si ayah pergi kelas tuisyen seperti biasa. Di akhir kelas, tuan guru mengambil kesempatan memanjatkan doa kepada Allah Taala agar anugerah si kecil ini diberkati dan membesar menjadi insan yang diredhaiNya. Kami beramai-ramai mengaminkannya!

0 comments: