:: " WAHAI ANAK KESAYANGANKU, BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH WALAU DI MANA SAHAJA KAMU BERADA. DAN JANGAN SESEKALI KAMU MENYEKUTUKAN ALLAH DENGAN SESUATU YANG LAIN " ::

Facebook Badge

About Me

My photo
Cukuplah hanya ku katakan bahawa cita-citaku menjadi seorang isteri yang solehah dan menjadi ibu yang berpegang teguh kepada agama Allah dan Rasul-Nya.. Melahirkan generasi al-Quran yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Ayah Ibu

Ayah Ibu

Kakak

Kakak

Abang Ngah

Abang Ngah

Adik

Adik


Pengalaman mengaji buat anak-anak

Thursday, July 28, 2011


(Wajah dalam gambar di atas ialah Dr. Nasr Said . Salah seorang guru ayah di al-Azhar. Semoga Allah memberkati beliau dan semua guru-guru yang sudi menunjuki kami ke jalanNya, amin!) Kali ini ayah akan bercerita tentang pengalaman belajar. Atau lebih tepat juga, pengajaran yang diperoleh menerusi pengalaman belajar. Ya anak-anak, sesungguhnya belajar dalam belajar itu suatu kesenian. Di sini ayah ingin berkongsi dengan kalian maklumat tentang macam mana nak belajar. Sebenarnya boleh juga diubah kepada macam mana nak berjaya? Atau nak diubah kepada macam nak cemerlang, mumtaz dan excellent dan sebagainya. Ayah semasa belajar bukanlah dari kalangan pelajar yang pandai. Bahkan selalunya ayahlah yang lambat faham tentang sesuatu perkara. Semasa di Universiti ayah lebih dikenali sebagai tukang fotostat. Kenapa? Sebab semua nota kawan-kawan akan ayah fotostat. Kemudian ayah akan bahagi-bahagikan pula kepada kawan-kawan yang lain. Ayah nak buat sendiri, banyak halangan. kekangan masa, runtunan tugas kepada kawan-kawan yang lain, keterbatasan kefahaman terhadap subjek dan sebagainya. Tapi itu semua tidak menghalang ayah dari berusaha. Ya, mengikut kemampuan.


Dipendekkan cerita, perkara utama yang mendorong ayah sehingga sampai kepada apa yang dimiliki sekarang ialah, yang walaupun ia memang terlalu amat kerdil dan kecil namun, setidak-tidaknya ayah mempunyai sesuatu. Dan dengannya ayah boleh bercerita, khasnya kepada anak-anak tersayang. Semoga kamu semua mendapat manfaat dan menjadi soleh, solehah, beriman dan bertaqwa. Seperti yang selalu ayah pesankan ke telinga kamu sejak kecil. Ya, ayah ingin berjaya. Ayah ingin belajar. Ayah ingin mencapai ilmu, merasainya, menghadamnya dan mengungkapnya. Itulah keinginan ayah. Alhamdulillah sehingga saat ini, rasa itu masih ada di dalam hati. Semoga Allah memeliharanya bersama iman dan taqwa.


Untuk belajar, berjaya dan cemerlang, kamu mesti punya keghairahan untuk semua itu. Keinginan, kehendak, kemahuan, dan segala yang seertinya terhadap ilmu dan kejayaan itu mesti ada dalam diri. Kerana dengan keinginan yang jitu, membuak-buak berkobar dan kemahuan yang bersungguh sahajalah mampu menggerakkan diri untuk berusaha ke arahnya. Jika mulut berkata ingin berjaya, tapi hati tidak menyahut, itu belum betul-betul lagi. Keinginan hati itu mesti kuat. Sebal dan bebal. Tebal dan kebal. Kerana yang pasti, untuk mencapai sesuatu akan ada halangan dan cabaran. Jika keinginan tidak utuh, mudah saja runtuh.


Selalulah ingat, firman pertama diturunkan dengan konsep pengetahuan. Mengajak memperkaya maklumat dan tamadun peradaban. Nabi juga selalu berpesan, Menuntut ilmu satu kewajipan. Walau sejauh mana pun. Walau ke liang lahad sekalipun.


Apabila sudah kukuh rasa di jiwa dan ditambah pula dengan baja semaian iman dan taqwa melalui titipan doa yang jangan sekali-kali putus, mudah-mudahan jalannya akan lebih mudah terbuka dan menampakkan diri. Pada ketika itu, rancanglah sekadar termampu. Tetapkan target, masa, tempat dan pergerakan. Tentukan juga semua itu realistik dan boleh dicapai. Bukan mustahil maksudnya. Kenali halangan dan cabaran yang mungkin menjelma, siapkan diri dan bekalan untuk menghadapi onak duri tersebut. Aturkan masa dan tugas. Seterusnya, bertawakkallah. Macam mana? Laksanakan perancangan. Apa yang bakal terjadi kesan dari perancangan tersebut; berjayakah atau gagalkah itulah yang mesti diserah tawakkal kepada Allah. Yang penting, usaha berjalan dan pasti akan ada sesuatu yang bakal dperoleh. Tidak apa yang dikehendaki, malah mungkin apa yang lebih dihajati. Sesungguhnya perancangan Allah itu lebih telus dan hikmahnya.


Rasanya setakat itu dulu buat kali ini, semoga anak-anak ayah akan membesar dengan baik dan berjaya di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.
Salam Ramadhan 1432. Bilik no 6 pensyarah lelaki, KIAS, Nilam Puri.
4.45 petang(Azan Asar sedang berkumandang)

0 comments: