:: " WAHAI ANAK KESAYANGANKU, BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH WALAU DI MANA SAHAJA KAMU BERADA. DAN JANGAN SESEKALI KAMU MENYEKUTUKAN ALLAH DENGAN SESUATU YANG LAIN " ::

Facebook Badge

About Me

My photo
Cukuplah hanya ku katakan bahawa cita-citaku menjadi seorang isteri yang solehah dan menjadi ibu yang berpegang teguh kepada agama Allah dan Rasul-Nya.. Melahirkan generasi al-Quran yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Ayah Ibu

Ayah Ibu

Kakak

Kakak

Abang Ngah

Abang Ngah

Adik

Adik


Pengalaman mengaji buat anak-anak

Thursday, July 28, 2011

0 comments

(Wajah dalam gambar di atas ialah Dr. Nasr Said . Salah seorang guru ayah di al-Azhar. Semoga Allah memberkati beliau dan semua guru-guru yang sudi menunjuki kami ke jalanNya, amin!) Kali ini ayah akan bercerita tentang pengalaman belajar. Atau lebih tepat juga, pengajaran yang diperoleh menerusi pengalaman belajar. Ya anak-anak, sesungguhnya belajar dalam belajar itu suatu kesenian. Di sini ayah ingin berkongsi dengan kalian maklumat tentang macam mana nak belajar. Sebenarnya boleh juga diubah kepada macam mana nak berjaya? Atau nak diubah kepada macam nak cemerlang, mumtaz dan excellent dan sebagainya. Ayah semasa belajar bukanlah dari kalangan pelajar yang pandai. Bahkan selalunya ayahlah yang lambat faham tentang sesuatu perkara. Semasa di Universiti ayah lebih dikenali sebagai tukang fotostat. Kenapa? Sebab semua nota kawan-kawan akan ayah fotostat. Kemudian ayah akan bahagi-bahagikan pula kepada kawan-kawan yang lain. Ayah nak buat sendiri, banyak halangan. kekangan masa, runtunan tugas kepada kawan-kawan yang lain, keterbatasan kefahaman terhadap subjek dan sebagainya. Tapi itu semua tidak menghalang ayah dari berusaha. Ya, mengikut kemampuan.


Dipendekkan cerita, perkara utama yang mendorong ayah sehingga sampai kepada apa yang dimiliki sekarang ialah, yang walaupun ia memang terlalu amat kerdil dan kecil namun, setidak-tidaknya ayah mempunyai sesuatu. Dan dengannya ayah boleh bercerita, khasnya kepada anak-anak tersayang. Semoga kamu semua mendapat manfaat dan menjadi soleh, solehah, beriman dan bertaqwa. Seperti yang selalu ayah pesankan ke telinga kamu sejak kecil. Ya, ayah ingin berjaya. Ayah ingin belajar. Ayah ingin mencapai ilmu, merasainya, menghadamnya dan mengungkapnya. Itulah keinginan ayah. Alhamdulillah sehingga saat ini, rasa itu masih ada di dalam hati. Semoga Allah memeliharanya bersama iman dan taqwa.


Untuk belajar, berjaya dan cemerlang, kamu mesti punya keghairahan untuk semua itu. Keinginan, kehendak, kemahuan, dan segala yang seertinya terhadap ilmu dan kejayaan itu mesti ada dalam diri. Kerana dengan keinginan yang jitu, membuak-buak berkobar dan kemahuan yang bersungguh sahajalah mampu menggerakkan diri untuk berusaha ke arahnya. Jika mulut berkata ingin berjaya, tapi hati tidak menyahut, itu belum betul-betul lagi. Keinginan hati itu mesti kuat. Sebal dan bebal. Tebal dan kebal. Kerana yang pasti, untuk mencapai sesuatu akan ada halangan dan cabaran. Jika keinginan tidak utuh, mudah saja runtuh.


Selalulah ingat, firman pertama diturunkan dengan konsep pengetahuan. Mengajak memperkaya maklumat dan tamadun peradaban. Nabi juga selalu berpesan, Menuntut ilmu satu kewajipan. Walau sejauh mana pun. Walau ke liang lahad sekalipun.


Apabila sudah kukuh rasa di jiwa dan ditambah pula dengan baja semaian iman dan taqwa melalui titipan doa yang jangan sekali-kali putus, mudah-mudahan jalannya akan lebih mudah terbuka dan menampakkan diri. Pada ketika itu, rancanglah sekadar termampu. Tetapkan target, masa, tempat dan pergerakan. Tentukan juga semua itu realistik dan boleh dicapai. Bukan mustahil maksudnya. Kenali halangan dan cabaran yang mungkin menjelma, siapkan diri dan bekalan untuk menghadapi onak duri tersebut. Aturkan masa dan tugas. Seterusnya, bertawakkallah. Macam mana? Laksanakan perancangan. Apa yang bakal terjadi kesan dari perancangan tersebut; berjayakah atau gagalkah itulah yang mesti diserah tawakkal kepada Allah. Yang penting, usaha berjalan dan pasti akan ada sesuatu yang bakal dperoleh. Tidak apa yang dikehendaki, malah mungkin apa yang lebih dihajati. Sesungguhnya perancangan Allah itu lebih telus dan hikmahnya.


Rasanya setakat itu dulu buat kali ini, semoga anak-anak ayah akan membesar dengan baik dan berjaya di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.
Salam Ramadhan 1432. Bilik no 6 pensyarah lelaki, KIAS, Nilam Puri.
4.45 petang(Azan Asar sedang berkumandang)

Marhaban ya nur aini!

Thursday, March 31, 2011

0 comments
Kita akan mati dalam keadaan yang paling kerap diamalkan." Mafhum hadis. Semoga kita berangkat menuju Allah dalam keadaan yang diredhainya. Hati bersama Allah. Beribadat. Bersolat dan membaca al-Quran sebagai contoh mudah. Salah seorang dari Ulama Tabi'in, kalam akhirnya sewaktu akan diangkat ruhnya menuju Allah ialah (ثم ردوا إلى الله مولام الحق) surah al-An'am ayat 62. Kemudian mereka (yang diambil nyawanya itu) dikembalikan kepada Allah Pengawas mereka yang sebenar (yang akan membalas dengan adil). Ketahuilah, bagi Allah jua lah kuasa menetapkan hukum (pada hari kiamat itu), dan Dia lah secepat-cepat Pengira – Penghitung.

Seorang lagi ulama Islam yang terkenal di medan dakwah menerusi karangannya yang hampir lima puluh buah mencakupi pelbagai bidang turut menemui Allah dalam keadaan yang selalu diamalkan beliau. Dr Abdullah Nasih Ulwan, Dilahir dan dibesarkan di Syria, kemudian berhijrah ke Jordan dan akhirnya ke Arab Saudi. Dikenali sebagai seorang yang sangat sukakan ilmu. Antara kegemarannya yang ketara ialah membaca. Beliau mengadap ilahi dalam keadaan sedang membaca buku.

Teruskan membaca
Dalam ruang yang masih berbaki, marilah kita penuhi dengan segala macam aktiviti yang diredhaiNya. Sebagai pengisi kolum kali ini, marilah sama-sama kita akrabi riwayat hidup seorang ulama tabi'in yang disebutkan di awal tadi. Nama beliau sebenarnya ada tersimpan hampir di setiap rumah orang Islam sekarang ini. Ini kerana masing-masing akan memiliki sekurang-kurangnya satu mushaf al-Quran yang mulia. Dan kebanyakan muslim sekarang membaca dengan riwayat Hafs, anak murid imam 'Asim al-Kufi. Di penghujung mushaf tersebut, akan ada satu penerangan ringkas tentang cara bacaan dan penulisan yang terdapat di dalamnya. Disitulah turut diabadikan beberapa nama yang hebat dalam sejarah Islam. Antaranya ialah, Imam 'Asim rahimahullah Taala.

Beliau ialah 'Asim bin Abdullah (Abi Najud al-Kufi) bin Malik bin Nasr bin Qi'in bin Tsa'labah. Salasilah keturunan beliau bersatu dengan Adnan, yang merupakan salah seorang datuk dalam salasilah keturunan baginda rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Ibunya bernama Bahdalah. Imam Asim seorang tabi'in besar di Kufah, tanah Iraq yang telah dimusnahkan oleh Amerika dan sekutu-sekutunya. Malangnya masyarakat hari ini boleh pula berbangga dapat berjumpa dengan presiden Amerika itu. Selain itu, imam Asim juga seorang yang dipercayai dalam ilmu Hadis. Imam Abu Bakar 'Ayyash-Syu'bah pernah berkata, Imam Asim itu alim dalam hadis, bahasa, nahu dan fiqh.

Antara guru beliau ialah, Abd Rahman as-Sulami, Abi Maryam bin Habish al-Asadi dan Abu Amru Saad as-Syaibani. Ketiga-tiga tabi'in tadi mempelajari al-Quran dengan Abdullah bin Mas'ud radiallahu 'anhum. Antara murid Imam Asi pula seperti al'-A'amash, al-Mufaddhol, Syu'bah, Hafs dan ramai lagi.

Berkata Yahya bin Adam, Aku tidak pernah jumpa orang yang lebih fasih dari imam Asim. Apabila beliau berbicara, kalamnya seakan sebuah fantasi.

Imam Abdullah bin Ahmad bin Hambal pernah betanya kepada bapa beliau tentang imam Asim ini, lalu dijawab, Imam asim itu seorang yang soleh, baik dan dipercayai. Lalu Imam Abdullah bertanya lagi, apakah qiraat yang engkau sukai? Jawab bapa beliau, qiraat ahli Madinah. Kalau aku tidak membaca qiraat tersebut aku akan pilih qiraat 'Asim.

Imam 'Asim mempunyai ramai murid. Yang paling dikenali di kalangan mereka itu ialah Syu'bah dan Hafs.
Ada orang pernah bertanya, mengapa ada perbezaan bacaan antara Hafs dan Syu'bah, sedangkan kedua-duanya berguru dengan imam Asim.
Secara ringkasnya, perbezaan yang berlaku tidak hanya kepada Imam Asim dan dua perawinya itu sahaja. Bahkan ia turut terdapat pada imam-imam qiraat yang lain. Siapakah yang dmaksudkan dengan imam di sini? Yang dimaksudkan di sini ialah 10 imam qiraat yang masyhur qiraat mereka itu mempunyai susur galur muktabar yang sampai kepada Rasullullah sallallahu alaihi wasalam. Mengapa dikatakan masyhur? Ini kerana para ulama qiraat mengatakan dengan sekian banyak perbezaan bacaan yang terdapat dalam qiraat 10 itu masih belum dapat dispastikan bahawa itulah semua qiraat yang dimaksudkan dengan hadis nabi, unzila quran 'ala sab'ati ahruf. Dengan demikian para ulama tidak menafikan kebarangkalian wujudnya ilmu-ilmu qiraat yang tidak sempat sampai kepada generasi hari ini. Justeru 10 imam Qiraat itu ialah gelaran kepada mereka yang masyhur di dalam imu qiraat. Itulah serba ringkas yang sempat dikongsikan bersama kali ini. Semoga ada kesempatan dan izin tuhan untuk kita bersua kembali, samada di alam maya ataupun di alam realiti. Yang penting dalam keadaan diredhaiNya.

Mengambil kira riwayat hidup ulama ulung imam Asim ini, maka kami memohon doa kepada Allah semoga dipertemukan dengan beliau. Jika tidak di alam ini, cukuplah dahulu dengan nama beliau sebagai muqaddimah kepada siri-siri pertemuan yang lebih bahagia di syurga, amin! Maka saya dengan rendah hati memohon jasa teman-teman agar turut mendoakan buah cinta ketiga kami, Asim bin Mohd Nurul hisyam dan kita semua agar dimasukkan Allah taala ke dalam golongan hambaNya yang bertaqwa, beriman dan diredhaiNya. Katakanlah, amin!

1 Syawal 1431

Thursday, September 9, 2010

1 comments

Hari ini 30 Ramadhan. Esok 1 Syawal. Tarikh yang Allah anugerah kepada kita untuk bergembira setelah bersusah sedikit dalam Ramadhan. Apa yang penting, sama-sama kita doakan semoga amal kehidupan kita diterima Allah Taala jua.

Sekarang jam menunjukkan angka 7.08 pagi. Hari ini juga 9 September 2010. Khamis. Semalam, 8 hb, genaplah Nafi'(angah) 9 bulan. Dan dari malam tadi angah menangis dan merengek. Hidungnya berair. Selsema dan batuk-batuk. Pening kepala ayah dan ibu. Ibu sekarang mudah sangat penat dan ta'ban. Maklumlah, masa ini adik kakak dan angah sudah 2 bulan dalam perut ibu. Alahan ibu pun kuat sedikit kali ini. Ditambah lagi dengan penat puasa. Tambah menyesakkan nafas, kakak masih belum hendak berhenti menyusu. Angah masih boleh menyusu. Tapi kakak dah 2 tahun. Sepatutnya kakak kena berhenti.

Tahun ini sebenarnya tahun terakhir ayah dan ibu di kuliah. Tapi masing-masing terpaksa melalui peperiksaan Tasfiah untuk 3 subjek yang gagal baru-baru ini. Ada 8 hari lagi untuk kami membuat persediaan. Ibu rasa sedih dan takut sangat. Sebab ibu tak hafal lagi. Bukan sedikit. Banyak lagi yang belum dihafal. Kakak dan angah sepanjang Ramadhan ini, tak hendak tidur malam. Siang hari juga. Terbalik jadi dunia kami.

Akhirnya kami fikir kena minta ayah cik, amudir dan amu asyraf tolong jadi babysitter dan tinggal bersama. Musykilahnya, rumah kita sempit. Jadi ayah minta dengan kawan ayah, ustaz shahrulhisyam namanya untuk menggunakan rumahnya yang sedang kosong. Rumahnya luas dan banyak bilik. 4 bilik. Harapnya, dapat duduk di situ dalam tempoh kecemasan ini dan kakak dan angah dapat dijaga dengan baik oleh ayah cik dan kawan-kawan.

Cerita pasal rumah pula. Tak apalah. Nanti kakak dan angah dah besar, dah pandai, tanyalah ayah dan ibu semula. Cerita pasal rumah pun sedih dan penat juga. Rumah yang kita sewa sekarang. Dan rumah kawan ayah itu juga.

Ayah nak kena pergi kemas rumah kawan ayah dulu. Dah kemas, sapu debu, simpan barang-barang kecil dan sebagainya barulah kakak dan angah boleh ke sana. Ibu sekalilah. Rumah kita pun nak kena kemas juga. Oh ya, pasal rumah. Ada rumah acik Amal. Kita pun tumpang juga rumah dia. Kena kemaskan juga tu. Ada banyak cerita pasal rumah ni. Tu belum cerita pasal rumah pertama ayah dan ibu duduk selepas kahwin di hayyu Thamin, Madinat Nasr, Cairo. Rumah pertama selepas diijabkabulkan pada 1 Syawal 1426. Ha! Itu cerita lain pula. 1 Syawal ialah titik sejarah ayah ibu yang indah. Selamat menyambut ulang tahun perkahwinan buat diri sendiri. Ayah dan ibu. Anak-anak belum pandai wish lagi ni. :D

Baju raya angah belum ada lagi. Ibu dah sedih. Ayah pening kepala. Duit tak berapa ada. Masa dan tenaga pun sangat terbatas. Puasa pula tu. Doalah, mudah-mudahan Allah izinkan semuanya lancar dan mendapat inayah, berkat dan rahmatNya. Semoga semua amalan kita diterima sebagai ibadat kepada Allah. Itu yang lebih penting. Semoga ayah dan ibu najah peperiksaan kali ini. Anak-anak, doakan kami.

Semoga dapat najah dan dapat balik ke Malaysia tahun ini. Boleh atuk,nenek,tok bah,tok mi pakcik dan makcik kamu jumpa kamu semua.

Akhirnya, Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu Akbar!